13 Projek Baharu Berjumlah RM500 Juta Bakal Lonjak Pembangunan Pantu
PANTU: Daerah Pantu bakal menyaksikan lonjakan pembangunan apabila sebanyak 13 projek baharu dicadangkan untuk dilaksanakan dengan anggaran kos keseluruhan mencecah RM500 juta.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Datuk Snowdan Lawan berkata, kesemua projek berkenaan melibatkan peruntukan daripada Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dan beberapa agensi kerajaan lain.
Menurut beliau, antara projek utama ialah pembinaan Jalan Muding-Tuba-Mentu sepanjang 42 kilometer (km) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kos RM265.5 juta yang sedang dilaksanakan.
“Ia diikuti dengan cadangan projek Jalan Menangkin/Menuang berjumlah RM77.5 juta, cadangan projek Jalan Batang Strap-Sapak-Isu-Munggu Ubah bernilai RM60.3 juta, projek Jalan Sebemban/Gayau bernilai RM38.2 juta yang sudah ditender dan projek Jalan Munggu Ubah bernilai RM35.8 juta yang dijangka siap pada Mei 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Randau Ruai Bersama YB Datuk Snowdan Lawan di Rumah Augustine Entika, Rapak Tepus, di sini pada Selasa.
Tambahnya, baki projek yang dicadangkan ialah pembinaan Jeti Pantu bernilai RM2.3 juta oleh JKR, projek perparitan Pantu bernilai RM6 juta oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, jalan kebun Abok bernilai RM782,000 serta jalan kebun Kampung Limau bernilai RM1.42 juta menerusi SADA dan Jabatan Pertanian.
Selain itu ujarnya, turut dicadangkan adalah untuk membina jalan menuju Wong Jaban @ Jaong Pantu bernilai RM4.625 juta, jalan menuju Wong Beranggong @ Abok bernilai RM1.3 juta oleh SADA serta MDSA, jalan kebun @ Bukit Kukuk, Sungai Merah bernilai RM894,000 dan projek awal pembukaan tapak Pejabat Daerah Pantu baharu bernilai RM5 juta.
"Justeru, saya berharap agar semua cadangan termasuk projek yang sedang dilaksanakan ini dapat memberi impak besar terhadap pembangunan Daerah Pantu khususnya dari segi kemudahan asas, jaringan jalan raya serta kesejahteraan penduduk luar bandar," katanya lagi.
Pada program sama, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rapak Tepus, selain RM5,000 kepada Biro Wanita organisasi berkenaan. -EDISI UKAS