KUCHING: Komuniti Iban sekali lagi diberi kepercayaan sebagai tuan rumah Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026, termasuk menerajui penganjuran acara kemuncak, perarakan “Niti Daun” yang dijadual berlangsung pada 20 Jun ini bertempat di Tebingan Kuching Waterfront.
Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kecil “Niti Daun” hari ini yang melibatkan penyertaan pelbagai wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta komuniti masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil “Niti Daun” yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Jefferson Jamit Unyat dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 untuk menerajui penganjuran acara berkenaan.
Menurut beliau, perarakan tersebut bukan sahaja bertujuan memeriahkan sambutan Gawai Dayak, malah menjadi platform menonjolkan kekayaan budaya, adat resam serta identiti masyarakat Dayak di Sarawak melalui penyertaan pelbagai kontinjen.
“Perarakan ini bukan sahaja simbol perpaduan, malah medium untuk memperlihatkan keunikan warisan budaya masyarakat Dayak kepada umum,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perarakan akan terus diadakan di Tebingan Kuching Waterfront yang menjadi lokasi tumpuan utama setiap kali sambutan Gawai Dayak.
Mengimbas penganjuran terdahulu, kaum Bidayuh selaku tuan rumah pada 2024 berjaya menghimpunkan 111 kontinjen, manakala kaum Orang Ulu mencatat penyertaan 91 kontinjen pada 2025.
Bagi tahun ini, jawatankuasa menyasarkan penyertaan sekitar 99 kontinjen sebagai usaha memperkukuh lagi kemeriahan perarakan “Niti Daun”.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan perancangan awal, penyelarasan tugas serta langkah strategik bagi memastikan penganjuran berjalan lancar, tersusun dan mencapai objektif yang ditetapkan.
“Niti Daun” dijangka kekal sebagai antara acara kemuncak Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan serta kebanggaan terhadap warisan budaya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili merangkap Timbalan Pengerusi II, Dr Johnnical Rayong, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Setiausaha Kerja, Datu Sirai Daha serta Pegawai Tugas Khas Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeRN), Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw.-EDISI UKAS