Pelita Menyala, Hati Disatukan: Tradisi “Bertuntung” Kembali Hidupkan Semangat Komuniti Asajaya
ASAJAYA: Cahaya pelita yang berkelip lembut di halaman rumah, gelak tawa anak muda yang sibuk menghias kampung, serta semangat gotong-royong yang kembali mekar semua ini menghidupkan semula nostalgia malam tujuh likor di daerah Asajaya.
Tradisi malam “bertuntung” yang sekian lama menjadi warisan masyarakat Melayu Sarawak kini kembali menyatukan komuniti pelbagai kaum menerusi Pertandingan Pelita Raya Malam Bertuntung Peringkat Daerah Asajaya 2026.
Bertemakan “Raya Zaman Mensia”, pertandingan yang berlangsung selama empat hari bermula 16 Mac itu menyaksikan penyertaan 16 buah kampung termasuk komuniti Cina dari Pekan Asajaya, yang turut sama menyemarakkan suasana dengan sentuhan kreativiti tersendiri.
Lebih daripada sekadar pertandingan, suasana di setiap kampung jelas menggambarkan kebersamaan — golongan belia berganding bahu memasang pelita, ibu bapa membantu menghias persekitaran, manakala kanak-kanak teruja melihat kampung mereka bermandi cahaya.
Program anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Asajaya itu turut mendapat sokongan pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Jabatan Pertanian, RELA dan Family Fitness yang berperanan sebagai panel juri.
Menariknya, edisi kali ini bukan sahaja menilai keindahan susunan pelita, malah turut mengetengahkan mesej sosial apabila peserta menghasilkan poster kreatif bertemakan “Anti Dadah” menggunakan bahan kitar semula.
Pendekatan ini secara tidak langsung mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai bahaya dadah melalui medium seni dan kreativiti dalam suasana kampung yang dekat dengan jiwa mereka.
Di sebalik cahaya pelita, terserlah semangat kerjasama erat dalam kalangan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dengan penglibatan aktif belia yang menjadi tulang belakang dalam menghidupkan suasana perayaan.
Penganjuran program ini bukan sahaja mengangkat semula adat tradisi masyarakat Melayu Sarawak, malah menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara kaum, generasi dan komuniti dalam suasana penuh harmoni.
Keputusan rasmi pertandingan akan diumumkan pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Peringkat Daerah Asajaya yang dijadual berlangsung pada 12 April depan di Kompleks Sukan Asajaya.
Majlis tersebut dijangka disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.-EDISI UKAS