![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Siri Kembara UKAS 2026 Demi Rakyat pada hari ke-10 membuka lembaran penting apabila berpeluang melihat sendiri kemajuan Projek Jalan Utama Kedua (STR), sebuah inisiatif infrastruktur mega yang dibiayai Kerajaan Sarawak.
Projek sepanjang 225 kilometer ini bukan sahaja melengkapkan jaringan Jalan Pesisir dan Lebuhraya Pan Borneo, malah menjadi tulang belakang baharu sistem perhubungan negeri yang lebih cekap, menyeluruh dan strategik.
Perjalanan dari Sibu ke Betong dan Sri Aman jelas memperlihatkan perubahan ketara landskap pembangunan yang semakin pesat.
STR dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kuching dan Sibu kepada hanya kira-kira tiga jam, sekali gus menawarkan laluan alternatif tengah yang lebih efisien, menjimatkan masa serta mengurangkan kebergantungan kepada laluan sedia ada.
Penjajaran projek ini bermula dari Jambatan Batang Samarahan hingga ke Persimpangan Roban, merangkumi pembinaan komponen penting seperti Jambatan Batang Sarawak di Sejingkat bagi mengurangkan kesesakan laluan Kuching-Samarahan.
Segmen Sebuyau ke Lingga pula bakal mengubah pengalaman perjalanan apabila masa perjalanan dipendekkan secara drastik daripada empat jam kepada hanya 30 minit, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan yang sebelum ini sukar diakses.
Lebih membanggakan, pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 di Sri Aman yang menelan kos lebih RM200 juta bakal menjadi ikon baharu Sarawak.
Dengan ketinggian pilon mencecah 145.5 meter, ia bakal muncul sebagai jambatan kabel tertinggi di Malaysia dan dijangka dibuka kepada pengguna menjelang September tahun ini.
Kewujudan jambatan ini bukan sahaja memperindah landskap Simanggang, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Projek Jambatan Batang Lupar 2
Secara keseluruhannya, pembangunan STR membawa limpahan manfaat yang besar kepada rakyat apabila ia bukan sahaja meningkatkan mobiliti, malah membuka akses lebih luas ke kawasan pedalaman untuk aktiviti pertanian, perladangan dan perusahaan kecil yang mampu menjana pendapatan.
Dalam masa sama, jaringan jalan raya yang lebih baik membantu mengurangkan kos logistik dan mempercepatkan pergerakan barangan, sekali gus merancakkan sektor perdagangan dan menarik pelaburan baharu ke kawasan berpotensi termasuk pembangunan pelabuhan laut dalam dan lapangan terbang.
Sebahagian daripada projek jalan pesisir
Peningkatan akses kepada kemudahan asas seperti pendidikan dan kesihatan turut menyumbang kepada peningkatan taraf hidup masyarakat luar bandar, di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan desa.
Malah, dari sudut keselamatan dan keselesaan, jalan yang lebih moden dan terancang memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selamat, lancar dan efisien kepada pengguna.
Sementara itu, di Betong, Kembara UKAS 2026 turut berkesempatan melihat dengan lebih dekat sebahagian daripada pakej Jalan Pesisir Sarawak.
Projek rangkaian jalan pesisir sepanjang lebih 800 kilometer, yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri, kini giat dilaksanakan untuk memacu pembangunan luar bandar dan memendekkan masa perjalanan.
Inisiatif dan komitmen tinggi Kerajaan Sarawak membina jaringan perhubungan yang lebih baik dan moden bukan sekadar pembinaan infrastruktur fizikal, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang yang berupaya mengubah landskap sosioekonomi Sarawak secara menyeluruh, selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif demi kesejahteraan rakyat. -DEMI RAKYAT