Astana Sarawak Jadi Tumpuan, Lebih 20,000 Pengunjung Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri
KUCHING: Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Sarawak pada 1 Syawal terus mencipta suasana luar biasa apabila dimeriahkan kehadiran lebih 20,000 orang pengunjung daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
Meskipun majlis secara rasmi bermula pada pukul 10 pagi, namun keterujaan rakyat jelas terserlah apabila orang ramai mula membanjiri kawasan Astana Sarawak seawal jam 8.30 pagi bagi bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana penuh harmoni.
Kehadiran luar biasa ini sekali gus membuktikan bahawa penganjuran rumah terbuka terus kekal relevan sebagai platform menyatukan rakyat, di samping memupuk semangat muhibah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Terdahulu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan pemimpin-pemimpin Sarawak serta tetamu kenamaan.
Antara yang hadir termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu kenamaan lain.
Pada sebelah tengah hari, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah turut berkenan menyantuni pengunjung yang hadir, sekali gus menambah kemeriahan sambutan.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi wadah meraikan Aidilfitri, malah berperanan sebagai jambatan merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana penuh keakraban.-EDISI UKAS