Pengukuran Sistematik Tanah NCR Elak Pertikaian Masa Depan
SIBU: Usaha memperkukuh pengiktirafan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Siong Ili dipergiat melalui pengukuran melibatkan lapan rumah panjang di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, langkah itu penting bagi memastikan tanah adat diukur secara sistematik serta diiktiraf secara sah oleh kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Dialog Pengukuran Tanah NCR di Rumah John Antieng, Siong Ili, baru-baru ini.
Program anjuran Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Selangau itu turut melibatkan tuai rumah dan penduduk setempat.
Dalam sesi tersebut, Pegawai Tadbir Tanah, Vivilyn Wesley Kapi menyampaikan taklimat berkaitan prosedur, dokumentasi dan langkah pengukuran tanah NCR.
Pengukuran terancang ini diyakini dapat mempercepat proses pengiktirafan serta mengurangkan risiko pertikaian pada masa hadapan.
Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan Siong Ili yang diketuai Tony Emat membantu menyelaras pelaksanaan program melalui penubuhan jawatankuasa khas.
Inisiatif ini diharap meningkatkan kefahaman masyarakat serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti dalam memelihara hak tanah adat.-EDISI UKAS