Kerajaan Sarawak Percepat Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai di Maradong
SIBU: Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif bagi memulihkan projek perumahan Taman Muhibbah, Maradong yang terbengkalai lebih tujuh tahun demi melindungi kepentingan pembeli terjejas.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, satu pertemuan melibatkan semua pihak berkaitan termasuk wakil peguam dijadualkan berlangsung di Pusat Khidmat Pelawan pada 24 Mac ini bagi memulakan proses perundangan secara rasmi.
Menurut beliau, antara tindakan utama yang akan diambil ialah menamatkan perkhidmatan pemaju sedia ada serta membuka laluan kepada pelantikan pemaju baharu sebagai ‘white knight’ untuk mengambil alih dan memulihkan projek tersebut.
Katanya, projek berkenaan telah menjejaskan lebih 20 pembeli yang menggunakan simpanan seumur hidup, namun terpaksa berdepan ketidakpastian akibat kelewatan berpanjangan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan situasi tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan dan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan projek kembali ke landasan asal.
Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Pelawan memaklumkan kementeriannya bertindak sebagai pemudah cara dengan menyelaras usaha pemulihan secara menyeluruh melibatkan semua pihak berkaitan.
Tambahnya, langkah turut diambil bagi menyusun semula aspek kewangan termasuk jaminan bank serta kemudahan pinjaman bagi menyokong pelaksanaan projek selepas diambil alih.
Beliau turut menegaskan kegagalan pemaju sedia ada melaksanakan tanggungjawab sehingga menyebabkan projek terbengkalai adalah tidak boleh diterima dan pemulihan mesti dilaksanakan segera demi kepentingan pembeli.-EDISI UKAS