PMA Chee Chuan Khor Simanggang Anjur Ziarah Aidilfitri Erat Silaturahim
SIMANGGANG: Pertubuhan Meninggikan Akhlak (PMA) Chee Chuan Khor Simanggang menganjurkan kunjungan Hari Raya Aidilfitri ke kediaman beberapa Ketua Masyarakat komuniti Melayu di Bahagian Sri Aman, pada Sabtu.
Program diketuai pengerusinya, Temenggong Kueh Aik Seng itu bermula di kediaman Temenggong Mohamad Shah Achang di Kampung Lingga, sebelum diteruskan ke rumah Pemanca Abang Norin Abang Norudin di Kampung Masjid Baru Sri Aman serta Penghulu Zamahari Morshidi di Kampung Hulu Sri Aman.
Kunjungan tersebut diakhiri di kediaman Abang Ajibi Abang Morshidi dan Zaleha Jamal.
Menurut Kueh, program ziarah berkenaan bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk di Sarawak.
“Amalan saling mengunjungi dan menghormati tanpa mengira kaum serta agama mencerminkan kekuatan perpaduan masyarakat Sarawak,” katanya.
Turut hadir, Kapitan Kueh Siaw Yong, Jong Foh Phin, Tay Cho Seng, Alice Wee Bee Liang, Ngu Sze Lee serta Simon Khoo Guan Shin. -EDISI UKAS