2,000 Jemaah Tunai Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Bandar Sri Aman
SIMANGGANG: Masjid Bandar Sri Aman di sini menyaksikan kehadiran kira-kira 2,000 jemaah yang menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri 2026 pada Sabtu.
Seawal jam 7 pagi, para jemaah mula memenuhi ruang masjid dan kawasan sekitarnya bagi bersama-sama meraikan kemenangan selepas sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Selesai solat, kesemua jemaah termasuk Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan, saling bermaaf-maafan dalam suasana penuh mesra dan harmoni.
Khatib Khutbah Khas Aidilfitri, Ustaz Syaifullah Ismail dalam khutbahnya menekankan kepentingan meneruskan semangat Ramadan melalui amalan saling membantu, menjaga keharmonian serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya peluang untuk memperbaharui tekad dalam memperbaiki diri dan mengeratkan hubungan sesama umat Islam.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pengerusi Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman, Iswandy Kassim melahirkan rasa syukur atas semangat kekeluargaan yang terus utuh dalam kalangan jemaah.
“Aidilfitri bagi saya bukan sekadar perayaan, tetapi masa untuk kita saling bermaaf-maafan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan umat Islam di sini.
“Selain itu, suasana Aidilfitri kali ini bukan sahaja melambangkan kemenangan ibadah, malah mencerminkan kekuatan komuniti Sri Aman yang terus mengekalkan tradisi gotong-royong dan semangat kekeluargaan,” katanya. -EDISI UKAS