Jalan Baharu Matang-Batu Kawa Ke Bulatan Emart Dicadangkan
KUCHING: Cadangan pembinaan jalan baharu yang menghubungkan Jalan Matang-Batu Kawa terus ke bulatan Emart menjadi antara fokus utama pembangunan yang akan terus diperjuangkan di kawasan Tupong.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pembinaan jalan baharu yang dicadangkan itu amat penting bagi membantu menangani isu kesesakan lalu lintas yang menjadi antara cabaran utama penduduk di kawasan berkenaan.
"Saya telah memohon dan saya akan terus mengikuti perkara ini bagi memastikan projek tersebut diluluskan demi masyarakat di kawasan N.6 Tupong," katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilifitri beliau yang berlangsung di Dewan Hikmah, Petra Jaya pada Selasa.
Beliau berkata, walaupun Jalan Matang terus dinaik taraf dan diperbesarkan, langkah itu mungkin masih belum mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah kesesakan sekiranya aliran trafik tidak dipelbagaikan.
Selain itu, Dato Fazzrudin menambah, pembangunan di kawasan N.6 Tupong akan terus dilaksanakan secara berterusan demi memastikan keperluan rakyat sentiasa dipenuhi.
Menurut beliau, pembangunan di kawasan tersebut dilaksanakan berasaskan tiga pendekatan utama iaitu menyediakan kemudahan yang belum ada, memantau kemudahan sedia ada serta membaik pulih infrastruktur yang telah lama digunakan.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta ketua-ketua jabatan yang hadir. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery & George Embie