Datuk Francis Harden Lawat Jambatan Konkrit Sungai Undop, Beletik
SIMANGGANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis telah melakukan lawatan kali kedua ke tapak Projek Jambatan Konkrit merentangi Sungai Undop di Kampung Beleti, Sabu, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, kali pertama lawatan pertama ke tapak projek itu telah dilakukan pada 10 Januari lepas dengan tujuan utamanya adalah untuk meninjau hasil kerja terhadap jambatan itu sebelum berlangsung proses serah milik.
"Untuk makluman, projek jambatan konkrit bernilai RM5 juta terbabit telah pun dilaksana oleh syarikat kontraktor ROSBEN Holding Sendirian Berhad dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman bertindak sebagai agensi pelaksananya.
"Proses serah milik projek itu akan berlangsung antara kontraktor itu dan JKR Bahagian Sri Aman dengan Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) pula bertindak sebagai penerima manfaat manakala pengguna akhir ('end user') pula adalah penduduk sekitar," katanya.
Datuk Francis Harden turut memberitahu projek jambatan konkrit berkenaan telah pun mula dibuka semenjak awal tahun ini dan memberi manfaat kepada 14 pintu keluarga di bawah bidang kuasa Kampung Beleti.
Beliau berharap agar pembinaan jambatan konkrit ini bukan hanya sekadar menjadi salah satu projek infrastruktur di Sri Aman tetapi simbol komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan pengangkutan luar bandar.
"Sungai Undop yang selama ini menjadi cabaran mobiliti kini tidak lagi menjadi penghalang kerana jambatan terbabit sudah pun membuka peluang penduduk Kampung Beleti untuk mempertingkatkan ekonomi dan sosial masing-masing.
"Bagaimanapun, saya berharap penduduk Beleti dapat menyambut baik projek ini kerana ia secara tidak langsung dapat memudahkan akses mereka ke Bandar Simanggang terutama sekali bagi urusan pendidikan, kesihatan dan perniagaan kecil-kecilan,"katanya.
Hadir sama Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman, Michealson Nyisin, Jurutera Tapak, JKR Bahagian Sri Aman, Chang Teck Khung, Penolong Juruteranya, Wong Lee Khang, wakil ROSBEN Holding iaitu Luke Benjamin dan Wilfred Gomez , Gailreth Mukit dan Machelle Lenggang dari SADA, Jurutera SIM HO Empire, Owen Chung Jia Hao, Tuai Rumah Maconi Ganda dan Kaunselor Dilang Jungai.
Terdahulu, pelaksanaan projek jambatan konkrit berkenaan telah bermula pada 12 Januari 2024 dengan kos asal sebanyak RM4.2 juta setelah jambatan gantung yang asal sudah usang dan tidak selamat digunakan.
Skop kerja projek berkenaan telah melibatkan pembinaan sebuah jambatan jenis 'hybrid' sepanjang 70 meter dengan lebar empat meter.
Projek ini pada asalnya hendak dilaksana di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) pada tahun 2018 namun disebabkan oleh faktor peruntukan, ia dirujuk ke SADA pada tahun 2020. -EDISI UKAS