Majlis Daerah Sri Aman Jadi Tuan Rumah Earth Hour Peringkat PBT Sarawak 2026
SIMANGGANG: Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) telah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran Program 'Earth Hour' peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak 2026 pada 28 Mac ini.
Perkara ini telah diumumkan oleh Pengerusi MDSA, Kaunselor (Kr) Anthony Abell Chendan pada sidang media Program 'Earth Hour' peringkat PBT Sarawak 2026 di Bilik Mesyuarat MDSA dekat sini, hari ini.
Menurut beliau, program 'Earth Hour' berkenaan akan didahului dengan aktiviti sampingan pada 27 Mac iaitu membuat sabun daripada minyak terpakai dan pertandingan mewarna peringkat sekolah.
"Pada waktu pagi 28 Mac pula, pihak kami akan mengadakan aktiviti gotong-royong bersama warga Sri Aman, pembukaan kaunter permohonan lesen pemilikan anjing serta cukai tafsiran di tingkat bawah bangunan Perpustakaan MDSA dan senamrobik.
"Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian akan melakukan simbolik perasmian program ini pada 8.30 malam di Mini Stadium Sri Aman dengan memadamkan lampu selama satu jam secara serentak bersama agensi kerajaan di sini," katanya.
Tambahnya, ketika berlangsung aktiviti memadam lampu terbabit, program pada masa tersebut juga turut diselitkan dengan persembahan tayangan video berkaitan dengan alam sekitar dan perubahan iklim bumi.
Anthony pada sidang media itu juga turut menambah program ini akan dilaksanakan secara lintas langsung di media sosial dengan antara 200 hingga 250 indivdu dijangka menyertai aktiviti ini melalui pautan yang diberi kepada 28 PBT di seluruh negeri ini.
"Saya menyeru kepada semua penduduk di Sri Aman agar sama-sama memadam lampu dan mematikan peralatan elektrik tidak penting pada jam 8.30 malam 28 Mac ini untuk menunjukkan semangat mereka bagi sama-sama menjaga alam sekitar.
"Adalah menjadi harapan kami agar program ini dapat membudayakan amalan hidup lestari dalam kehidupan seharian penduduk di samping menjadikan Sri Aman sebagai contoh komuniti yang prihatin terhadap alam sekitar terhadap orang luar," kata Abell.
Hadir sama pada sidang media Program 'Earth Hour' berkenaan adalah Setiausaha MDSA, Mohd Rizal Zakaria, Timbalan Jawatankuasa Pembangunan Komuniti dan Pelancongan MDSA, Kr Chin Li Li dan Ahli Majlis MDSA, Joshua Fam serta para kakitangan MDSA.
Terdahulu, 'Earth Hour' merupakan satu gerakan global yang dipelopori oleh 'World Wide Fund for Nature' (WWF) dengan orang ramai digalakkan untuk memadamkan lampu selama satu jam sebagai simbol komitmen terhadap penjagaan alam sekitar dan usaha menangani perubahan iklim.
Ia pertama kali dianjurkan pada tahun 2007 di Sydney, Australia oleh WWF bersama rakan media serta komuniti tempatan dengan lebih daripada dua juta penduduk dan 2,000 perniagaan memadamkan lampu selama satu jam sebagai simbol komitmen terhadap bumi.
Selepas kejayaan di Sydney, Australia, 'Earth Hour' berkenaan telah mula berkembang pesat serta menjadi pergerakan global apabila lebih 190 negara dan wilayah telah menyertai program terbabit pada masa sekarang. -EDISI UKAS