Rakyat Diseru Guna Saluran Rasmi, Elak Sebar Isu Tidak Sahih di Media Sosial
BELAWAI: Rakyat disaran menyalurkan sebarang isu atau permasalahan melalui saluran rasmi bagi memastikan tindakan dapat diambil secara cepat, tepat dan berkesan.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, berkata rangkaian kerjasama yang kukuh antara masyarakat dan agensi kerajaan amat penting agar maklumat yang disampaikan adalah sahih serta sampai kepada pihak yang bertanggungjawab.
Menurut beliau, budaya menularkan sesuatu isu di media sosial tanpa pengesahan hanya akan menimbulkan kekeliruan dan berpotensi melambatkan proses penyelesaian.
“Di peringkat kampung, Ketua Kaum dan pemimpin masyarakat memainkan peranan penting sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan dalam menyampaikan sebarang aduan atau rungutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aidilfitri Bersama Pemimpin 2026 DUN Kuala Rajang yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Belawai, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa projek pembangunan sedang dan akan dilaksanakan di kawasan Belawai, termasuk projek pembinaan Anjung Usahawan bernilai RM8.5 juta bagi membantu usahawan tempatan memasarkan produk masing-masing.
Selain itu, projek pembangunan benteng atau waterfront Pantai Belawai sepanjang dua kilometer dengan kos RM164 juta kini berada di peringkat akhir perancangan dan dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan setempat.
Bagi memperkukuh sistem perhubungan, projek naik taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis turut diberi keutamaan bagi melengkapkan kemudahan sedia ada di kawasan berkenaan.
Beliau menegaskan, semua inisiatif tersebut membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara serta menikmati manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan.
Majlis berkenaan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Kuala Rajang itu dihadiri kira-kira 350 penduduk setempat dalam suasana meriah sempena sambutan Aidilfitri.- EDISI UKAS