Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Isteri Meriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 Di Ibu Negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi memeriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini pada Selasa.
Majlis yang bermula pada jam 7.30 malam itu turut dihadiri oleh Ketua Hakim Negara Datuk Seri Utama Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Menteri Komunikasi Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Turut memeriahkan majlis ialah tokoh-tokoh korporat negara seperti Tan Sri Bustari Yusuf, Tan Sri Datuk Wira Azman Mokhtar dan Dato Mohamed Nizam Tun Abdul Razak.
Selain itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran wakil-wakil keluarga besar Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dari Persatuan Rabithah Alawiyah Malaysia dan Pertubuhan Ahlulbait Benyahya Malaysia serta wakil dari pelbagai agensi seperti Pejabat Perhubungan Sarawak Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka dan UNIRAZAK.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie dalam ucapan aluannya menzahirkan kesyukuran atas kehadiran Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah untuk hadir ke majlis itu walaupun mempunyai jadual yang padat.
Beliau turut merakamkan penghargaan mengalu-alukan kehadiran lebih daripada 450 orang tetamu jemputan yang datang dari pelbagai latar dan negeri seperti Perak, Terengganu dan Pulau Pinang.
Dalam majlis itu juga, Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta isteri turut menyampaikan sampul raya yang menjadi simbolik penghargaan kepada hadirin khususnya kanak-kanak.-EDISI UKAS