Projek RTP Jalan Pujut Adong Perkukuh Keselesaan & Keselamatan Penduduk
MIRI: Pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Jalan Pujut Adong terus memberi impak positif kepada kesejahteraan penduduk setempat khususnya dalam meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan laluan harian.
Inisiatif menaik taraf infrastruktur jalan tersebut merangkumi kerja-kerja penurapan semula tiga laluan kecil yang menghubungkan kawasan kediaman ke jalan utama, sekali gus menyelesaikan masalah permukaan jalan tidak rata serta isu takungan air yang sering berlaku ketika hujan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, projek berkenaan dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar penduduk dan memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
“Walaupun projek ini berskala kecil, ia amat signifikan dalam memastikan penduduk dapat menggunakan laluan dengan lebih selesa dan selamat bagi urusan harian mereka,” katanya semasa lawatan tapak ke lokasi projek tersebut, pada Selasa.
Beliau menambah, pembinaan bonggol keselamatan di kawasan berkenaan turut dilaksanakan hasil permintaan penduduk sebagai langkah mengawal kelajuan kenderaan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan di kawasan perumahan.
Tambahnya, aspek keselamatan dan kesejahteraan masyarakat akan terus diberi keutamaan menerusi pemantauan berterusan bagi memastikan persekitaran tempat tinggal kekal kondusif dan selamat.-EDISI UKAS