Rumah Terbuka Aidilfitri Kampung Hilir Sebauh Perkukuh Perpaduan Komuniti
SEBAUH: Sambutan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kampung Hilir Sebauh menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom menegaskan bahawa keharmonian yang dikecapi hari ini perlu terus dipelihara agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Menurut beliau, pembangunan kawasan kampung perlu dipertingkatkan secara berterusan dengan sokongan padu penduduk yang berbangga terhadap identiti serta imej kampung masing-masing.
“Kerjasama erat antara penduduk kampung dengan Ketua Kaum dan Penghulu amat penting, bukan sahaja untuk menjaga nama baik kampung, tetapi juga bagi memastikan komunikasi yang berkesan dalam menghadapi situasi tidak dijangka seperti bencana,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Balairaya Kampung Hilir Sebauh pada Selasa.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejadian banjir yang melanda daerah Sebauh pada Januari lalu menjadi pengajaran penting mengenai keperluan kesiapsiagaan dan kerjasama semua pihak dalam mengurus hal ehwal komuniti.
Tambah beliau, pengurusan kampung tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan Ketua Kaum atau Ketua Masyarakat, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif seluruh komuniti bagi memastikan kesejahteraan bersama terus terpelihara.
Terdahulu, beliau turut mengadakan kunjungan Hari Raya ke Kampung Labang dan Kampung Padan sebagai usaha mendekati rakyat serta memahami keperluan setempat.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hilir Sebauh, serta RM10,000 kepada Biro Wanita bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Majlis tersebut turut dihadiri Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu, Tuai Rumah Dato’ Raymond Plen serta Jurutera Bahagian Bintulu (JKR), Ir. Lau Sie Hung.-EDISI UKAS