LAWAS: Usaha memperkasa kebajikan komuniti terus diberi penekanan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara, khususnya dalam membantu golongan yang memerlukan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kesinambungan peranan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) amat signifikan dalam menyantuni masyarakat melalui pelbagai inisiatif kebajikan meliputi aspek sosial, pendidikan dan kesihatan.
Menurut beliau, komitmen tinggi PERKIM Lawas terserlah menerusi pelaksanaan pelbagai program sepanjang bulan Ramadan, termasuk penyaluran sumbangan Hari Raya kepada lebih 1,300 penerima.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa walaupun Lawas merupakan daerah kecil, keupayaan mengumpul dana serta menyantuni golongan memerlukan adalah amat membanggakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri PERKIM Lawas, pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menegaskan bahawa kerjasama erat antara PERKIM, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan program kebajikan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Mengulas perkembangan semasa, beliau memaklumkan bahawa pembinaan bangunan PERKIM Lawas yang sedang giat dilaksanakan dijangka siap dalam tempoh terdekat dan bakal menjadi pusat pelaksanaan pelbagai aktiviti komuniti pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengerusi PERKIM Lawas, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata, penganjuran majlis tersebut bertujuan menghargai segala usaha kebajikan yang telah dilaksanakan sepanjang Ramadan serta sepanjang tahun oleh warga PERKIM.
Beliau menambah, PERKIM Lawas akan terus bergerak aktif melalui pelbagai program kebajikan yang bukan sahaja menceriakan suasana Ramadan, malah membantu golongan memerlukan dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya.-EDISI UKAS