BALI: Delegasi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee berpeluang mengadakan perjumpaan khas dengan Co-founder & Managing Director The International Institute of Knowledge Management (TIIKM), Isanka P. Gamage sempena The 11th World Conference on Media & Mass Communication (MEDCOM) 2026 di sini pada Selasa.
Perjumpaan tersebut menjadi platform penting bagi UKAS memperluaskan jaringan antarabangsa khususnya dalam bidang media dan komunikasi strategik.
Ini sekali gus membuka ruang kerjasama masa depan bersama organisasi global dalam memperkasa penyampaian maklumat kerajaan.
Sementara itu, menurut Datuk Abdullah, penyertaan delegasi UKAS dalam MEDCOM 2026 memberi pendedahan berharga dalam mempertingkatkan kualiti penganjuran serta pengisian bagi Persidangan Media Sarawak (SMeC) yang bakal dianjurkan tahun ini.
“Penganjuran SMeC turut mengambil kira kepelbagaian etnik dan bersifat inklusif, khususnya dalam memastikan penyampaian inisiatif kerajaan dapat difahami semua lapisan masyarakat.
“Oleh itu, penting bagi delegasi UKAS mengenal pasti penceramah yang berwibawa untuk berkongsi pandangan serta pengalaman mereka,” katanya.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada TIIKM atas kejayaan menganjurkan MEDCOM 2026 yang menghimpunkan pakar industri, akademia dan pengamal media dari seluruh dunia.
Kedua-dua pihak turut bertukar plak sebagai simbol penghargaan serta merakam gambar kenang-kenangan.
Sementara itu, hari kedua MEDCOM 2026 menyaksikan pelbagai sesi ilmiah dan perbincangan panel yang memberi tumpuan kepada masa depan media, termasuk aspek kemampanan, keadilan komunikasi dan cabaran era digital.
Antara pengisian utama termasuk sesi pembentangan kertas penyelidikan oleh peserta antarabangsa yang membincangkan transformasi media dalam era kecerdasan buatan (AI), etika kewartawanan serta peranan komunikasi dalam memperkukuh ketahanan sosial.
Selain itu, forum panel turut menampilkan pakar industri yang berkongsi pandangan mengenai kepentingan kepercayaan (trust) dalam media, strategi menangani maklumat palsu serta keperluan pendekatan komunikasi yang lebih inklusif dan beretika.
Delegasi UKAS turut mengambil peluang menghadiri sesi jaringan (networking sessions) bersama pengamal media global bagi bertukar idea serta meneroka potensi kolaborasi strategik pada masa hadapan.
MEDCOM 2026 melabuhkan tirai hari ini dengan penyertaan lebih 200 peserta dari 40 negara.
MEDCOM 2027 pula dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand pada 5 hingga 6 April dengan tema “Signals Beyond The Algorithm: Humanity, Trust & Freedom in an AI-Driven Media World.”-EDISI UKAS