Tanjung Manis Pemangkin Utama Pembangunan, Limpahan Manfaat Dirasai Komuniti Pesisir
TANJUNG MANIS: Tanjung Manis terus berperanan sebagai pemangkin utama pembangunan di daerah berkenaan serta kawasan sekitarnya, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada komuniti pesisir seperti Belawai, Rajang, Jerijih, Semalau dan Sebayang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, sejarah pembangunan kawasan itu membuktikan bahawa pembukaan Tanjung Manis yang dahulunya merupakan kawasan hutan belantara tanpa penempatan tetap kini telah berjaya mengubah landskap sosioekonomi penduduk setempat.
Menurut beliau, sebahagian besar penduduk yang menetap di Tanjung Manis hari ini merupakan tenaga kerja awal yang terlibat secara langsung dalam pembangunan kawasan berkenaan sebelum membina kehidupan dan keluarga di situ.
“Pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tanjung Manis juga membuka lebih banyak lot kediaman baharu berikutan pertambahan jumlah penduduk, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk menjadikan kawasan ini sebagai tempat menetap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aidilfitri Bersama Pemimpin 2026 yang diadakan di Dewan IKS Tanjung Manis pada Selasa.
Tambahnya lagi, pembinaan beberapa jambatan baharu di kawasan pesisir turut membuka ruang kepada pelaksanaan lebih banyak projek infrastruktur bagi memperkukuh hubungan antara kawasan setempat.
“Semua perancangan pembangunan ini hanya dapat dilaksanakan dengan kerjasama erat semua agensi kerajaan, khususnya agensi pelaksana projek,” jelas beliau.-EDISI UKAS