Limpahan Projek Lebih RM1 Bilion Pacu Potensi Kapit
KAPIT: Bahagian Kapit terus dipacu sebagai wilayah berpotensi menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan bernilai lebih RM1 bilion, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa kawasan pedalaman.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kedudukan kewangan Kerajaan Sarawak yang kukuh membolehkan usaha pembangunan dilaksanakan secara agresif termasuk melalui penubuhan Upper Rajang Development Agency (URDA) sebagai langkah strategik membangunkan wilayah tersebut.
“Lebih RM1 bilion telah disalurkan untuk pembangunan Kapit merangkumi pelaksanaan projek jalan di seberang Batang Rajang, pembinaan jambatan bernilai RM300 juta, jalan ke Nanga Seranau bernilai RM400 juta, jambatan Sungai Kapit RM100 juta serta pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu bernilai RM132 juta.
“Selain itu, pembinaan Kolej Profesional MARA turut dirancang bagi memperkasa pendidikan dan pembangunan modal insan di kawasan ini, di samping pemasangan kemudahan Starlink bagi meningkatkan capaian internet luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran JKKK Rumah Jaceline Lia, Emperan Pedalai Mansau, Mumu, Ibau, Kapit, pada Isnin.
Dato Sri Alexander turut menyeru rakyat agar terus bersatu dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan termasuk pilihan raya negeri, demi memastikan kesinambungan pembangunan serta masa depan Kapit yang lebih maju dan sejahtera.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi pembinaan stor dan dapur, serta RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai sokongan kepada komuniti setempat.
Pada majlis sama, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat turut menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada JKKK Rumah Jaceline Lia serta RM5,000 kepada Persatuan Biro Wanita rumah panjang berkenaan.
Selain itu, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Alvin Runggah Jimbun turut menyumbang satu unit kemudahan Starlink bagi meningkatkan sistem perhubungan serta 10 kotak air bersih untuk setiap pintu keluarga di rumah panjang tersebut berikutan ketiadaan bekalan air paip.-EDISI UKAS