Penantian lebih dua dekad Wei Wei untuk miliki Mykad ‘K’ berakhir
SIBU: Selepas 20 tahun hidup dalam ketidakpastian, seorang wanita, Lau Wei Wei akhirnya memperoleh kad pengenalan Malaysia dengan awalan ‘K’, sekali gus mengubah status kehidupannya sebagai rakyat Sarawak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kejayaan itu hasil usaha Pusat Khidmat Pelawan yang membantu menyelesaikan isu dokumentasi dihadapi Wei Wei sejak lahir.
“Ibu Wei Wei merupakan anak jati Sarawak tetapi tidak mempunyai kad pengenalan. Oleh itu, Wei Wei menghadapi pelbagai kesukaran untuk mendapatkan MyKad ‘K’ sebelum ini.
“Hari ini, dengan bantuan pusat perkhidmatan kami di bawah pimpinan Kapitan So Teck Kee, beliau berjaya memperoleh kewarganegaraan, iaitu MyKad dengan awalan ‘K’ sebagai rakyat Sarawak,” katanya kepada pemberita di pusat khidmatnya di sini, pada Selasa.
Dalam masa sama, beliau berkata Kapitan So Teck Kee bersama Penghulu Ting Tien Huat kini sedang membantu permohonan kad pengenalan bagi ibu Wei Wei.
Beliau turut mendedahkan isu individu tanpa kerakyatan masih berlaku di Sarawak dan memerlukan perhatian berterusan pelbagai pihak.
“Berdasarkan Jabatan Pendaftaran Negara, mana-mana anak Sarawak sama ada ibu atau bapa merupakan rakyat Sarawak, dan dilahirkan di mana-mana dalam Malaysia, masih layak didaftarkan dengan awalan ‘K’,” katanya.
Beliau menegaskan, awalan ‘K’ bukan sekadar identiti, malah membuka akses kepada pelbagai kemudahan kerajaan negeri termasuk bantuan pendidikan dan kebajikan.
“Kerajaan Sarawak menyediakan banyak inisiatif untuk pemegang MyKad ‘K’, termasuk pendidikan menengah, pengajian tinggi dan bantuan seperti SKAS,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa Sarawak agar memastikan anak-anak didaftarkan bagi mendapatkan hak sewajarnya.-EDISI UKAS