RTP RM500,000 Diperuntukkan Bina Dewan Baharu Kampung Melayu
LUBOK ANTU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM500,000 bagi pembinaan dewan kampung baharu di Kampung Melayu, di sini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, pembinaan dewan baharu itu akan menyediakan kemudahan lebih selesa dan kondusif kepada penduduk setempat.
Katanya, dewan ini nanti akan memudahkan penduduk untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sekali gus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Ngabang Hari Raya yang berlangsung di Dewan Madrasah Kampung Melayu, di sini, pada Selasa.
Menyentuh mengenai program, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai itu menegaskan bahawa semangat perpaduan dan amalan gotong-royong yang diamalkan masyarakat setempat merupakan kekuatan utama yang seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Terdahulu dalam majlis yang sama, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu bagi memperkasakan pelaksanaan aktiviti komuniti setempat.
Program tersebut bukan sahaja mengeratkan silaturahim sempena Aidilfitri, malah menjadi platform penting dalam mendekatkan pemimpin dengan rakyat serta memahami keperluan sebenar masyarakat setempat. -EDISI UKAS