RTP 2026 Perkasa Infrastruktur Nanga Pelagus, Komitmen Pembangunan Luar Bandar Diperkukuh
KAPIT: Agenda pembangunan luar bandar terus diperkasa apabila pelaksanaan Projek Rancangan Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 di Nanga Pelagus menjadi pemangkin kepada peningkatan kemudahan asas serta kesejahteraan komuniti setempat.
Inisiatif tersebut dizahirkan menerusi Majlis Perasmian Projek RTP dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Rumah Annie Isop, Nanga Pelagus, Batang Rajang pada Rabu.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, serta turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang dan ADUN Baleh, Nicholas Kudi Jantai bersama kenamaan lain.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan RTP 2026 di kawasan tersebut melibatkan projek pembinaan parit di belakang Rumah Annie sebagai langkah meningkatkan kemudahan asas serta keselesaan penduduk.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM30,000 bagi pembinaan dapur Rumah Annie, di samping sumbangan RM5,000 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang serta RM5,000 kepada setiap Biro Wanita yang terlibat dalam program berkenaan.
Lebih signifikan, beliau turut memaklumkan cadangan pembinaan Klinik Nanga Pelagus kini berada pada peringkat perbincangan bersama pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan sebagai usaha memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada penduduk luar bandar.
Dalam masa sama, beliau turut menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pelagus bagi menyokong pembangunan pendidikan setempat.
Sementara itu, Wilson Nyabong Ijang mengumumkan sumbangan RM12,000 kepada JKKK Rumah Annie, RM5,000 kepada Biro Wanita serta RM3,000 kepada Biro Wanita yang hadir dalam majlis tersebut.
Nicholas Kudi Jantai pula menyumbang RM5,000 kepada Biro Wanita JKKK Rumah Annie sebagai galakan kepada penglibatan aktif wanita dalam memperkukuh pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat.-EDISI UKAS