Pantai Damai Dipacu Jadi Hab Pelancongan Strategik Sarawak
KUCHING: Kawasan Pantai Damai terus diperkasa sebagai antara hab pelancongan utama Sarawak menerusi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan strategik yang memberi tumpuan kepada peningkatan prasarana, pendidikan dan kemudahan pelancongan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, pembangunan kawasan itu telah dirancang sejak lebih dua dekad lalu dan kini memasuki fasa pelaksanaan yang lebih pesat.
Menurut beliau, peningkatan ketara dapat dilihat khususnya dari segi penyediaan dan penambahbaikan prasarana pelancongan di beberapa lokasi tumpuan termasuk Telaga Air, Damai, Santubong, Pasir Pandak dan Buntal.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan antara pemangkin baharu pembangunan ialah projek menaik taraf ICATS University College kepada universiti penuh yang akan ditempatkan di Kampung Terombol, kira-kira 2 kilometer dari Telaga Air.
“Projek pembinaan telah pun bermula dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun di kawasan seluas 200 ekar.
"Pembangunan ini bukan sahaja memperkukuh sektor pendidikan, malah dijangka merancakkan lagi pertumbuhan pelancongan di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa Majlis Hari Raya Aidilfitri di Hotel Waterfront di sini, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menambah,,kawasan pesisir seperti Telaga Air, Kampung Sibu Laut dan Kampung Sungai Aur turut dibangunkan sebagai zon ekopelancongan di bawah inisiatif “Southern Belt of Tourism in Sarawak”, yang kini semakin menarik kehadiran pelawat terutama pada hujung minggu.
Seiring itu, kerajaan negeri turut merancang pembinaan dua laluan utama baharu sebagai sambungan daripada Lebuh Raya Pehin Sri Adenan bagi meningkatkan akses ke kawasan berkenaan.
“Salah satu laluan akan menghubungkan ke Kampung Telaga Air dan dibina sebagai jalan dua hala, manakala satu lagi laluan akan menghubungkan terus ke kawasan universiti di Kampung Terombol.
"Pembinaan ini bertujuan mempertingkatkan sistem perhubungan serta memudahkan pergerakan ke kawasan tersebut,” jelasnya.- EDISI UKAS