Aidilfitri Satukan Komuniti, Kunjungan Raya Perkukuh Keharmonian di Senadin
MIRI: Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus menjadi medium penting dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum apabila amalan kunjung-mengunjung menghidupkan semangat perpaduan dan keharmonian sosial di Sarawak.
Semangat tersebut dizahirkan menerusi program kunjungan Hari Raya selama dua hari anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Senadin yang menyaksikan sebanyak 26 buah rumah diziarahi melibatkan pemimpin masyarakat, ketua kampung serta ahli jawatankuasa di sekitar kawasan Miri.
Program berkenaan diketuai Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin bersama isteri serta disertai barisan pemimpin masyarakat pelbagai kaum termasuk Temenggong Yong Vui Seng, Penghulu Chai Kuen Ming, Kapitan Jee Kee Hiong dan wakil komuniti tempatan.
Antara lokasi yang dikunjungi termasuk Kampung Masjid, Kampung Muhibbah Kuala Baram, Tudan Fasa 2 dan Fasa 4, Pengkalan Lutong, Lopeng Tengah serta Kampung Kadong dan kawasan sekitarnya, selain turut menziarahi kediaman Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni serta Temenggong Abang Mohamed Dato Sri Abang Othman.
Menurut Dato Sri Lee Kim Shin, amalan kunjungan yang diteruskan setiap tahun itu bukan sekadar tradisi perayaan, malah menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara kaum serta memupuk nilai saling hormat-menghormati dan kefahaman budaya.
“Tujuan utama kunjungan ini adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara kaum, selain memupuk sikap saling hormat-menghormati serta memahami budaya antara satu sama lain,” katanya.-EDISI UKAS