Telaga Air Berpotensi Jadi Destani Pelancongan Berasaskan Sukan Air
KUCHING: Telaga Air dilihat berpotensi muncul sebagai lokasi baharu penganjuran regatta berskala besar, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan air di Sarawak.
Cadangan tersebut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak susulan keunikan format perlumbaan yang diketengahkan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, usaha itu telah dibincangkan sejak kira-kira dua tahun lalu sebagai langkah memperluas produk pelancongan negeri.
Menurut beliau, antara tarikan utama ialah penganjuran acara “endurance regatta” yang pertama kali diperkenalkan sempena Pesta Telaga Air.
“Acara ini melibatkan perahu dengan 30 pengayuh yang berkayuh secara berterusan sejauh lima kilometer. Keunikan sungai di Telaga Air yang lurus tanpa selekoh membolehkan perlumbaan dijalankan dalam satu laluan terus, sekali gus menjadikannya antara acara yang unik dan menarik,” katanya ketika ditemui media pada Rabu.
Beliau menjelaskan, format perlumbaan yang mengambil masa sekitar 10 hingga 11 minit itu turut menarik perhatian pihak kementerian sebagai produk pelancongan sukan yang berpotensi dikembangkan.
Tambahnya, cadangan turut merangkumi penganjuran regatta di Telaga Air secara berselang tahun dengan Pesta Telaga Air bagi memperkaya kalendar pelancongan negeri.
“Penganjuran ini bukan bertujuan menggantikan Regatta Sarawak yang kekal di Sungai Sarawak, sebaliknya sebagai pelengkap kepada pelbagai acara regatta sedia ada di negeri ini,” ujarnya.
Menurut beliau, inisiatif tersebut diyakini mampu melonjakkan daya tarikan Telaga Air sebagai destinasi pelancongan, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.-EDISI UKAS