Semangat ‘Segulai Sejalai’ Meriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong
BETONG: Suasana penuh muhibah dan semangat perpaduan jelas terpancar dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong Tahun 2026/1447H yang berlangsung meriah di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, pada Selasa.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu telah hadir menyempurnakan majlis tersebut mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Berucap dalam majlis tersebut, Datuk Gerald menekankan kepentingan pembangunan seimbang antara fizikal dan modal insan.
"Pembangunan bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga pembangunan insan, rohani, dan jasmani. Ini penting bagi melahirkan masyarakat yang seimbang untuk memberi bakti semula kepada kampung, bandar, dan negeri kita," ujar beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar juga menyeru agar masyarakat harus bersedia menghadapi perubahan teknologi termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI) agar mampu berhati-hati terhadap jenayah penipuan dalam talian.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu, dalam ucapannya menyatakan rasa syukur atas kemeriahan majlis yang berjaya mengumpulkan penduduk dalam suasana harmoni.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan politik adalah kunci utama untuk memastikan segala perancangan pembangunan di Betong terus memacu kemajuan.
"Kita di Betong memerlukan satu kekuatan iaitu perpaduan. Kestabilan politik sangat penting kerana tanpa kestabilan, pembangunan akan terganggu dan rakyat yang akan terkesan," jelasnya.
Dalam majlis tersebut, Datuk Gerald mengumumkan sumbangan berjumlah RM20,000 daripada pihak Datuk Amar Douglas Uggah Embas kepada Jawatankuasa Induk Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong Tahun 2026
Dato Dr Richard turut menyumbangkan RM10,000 kepada jawatankuasa tersebut.
Datuk Gerald turut memyempurnakan upacara penyerahan cek geran daripada Lembaga Khairat Dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) kepada 13 badan (Masjid, Surau dan Kelab) di Kampung Melayu Betong. -EDISI UKAS