Musim Perayaan Medium Kukuh Perpaduan Kaum di Sarikei
SARIKEI: Musim perayaan bukan sahaja diraikan dengan penuh kemeriahan, malah menjadi platform penting dalam memperkukuh keharmonian kaum apabila masyarakat berbilang bangsa saling berkunjung dan berkongsi budaya dalam suasana muhibah.
Timbalan Menteri Komoditi dan Perladangan merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri mencerminkan keunikan serta kekuatan masyarakat Sarawak yang hidup dalam suasana saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.
Menurut beliau, amalan kunjung-mengunjung serta penganjuran rumah terbuka sepanjang musim perayaan mampu merapatkan jurang perbezaan sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara kaum.
“Perayaan bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi merupakan wadah terbaik untuk memupuk persefahaman, toleransi dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Dato Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok turut menegaskan bahawa keharmonian yang terjalin melalui sambutan perayaan perlu terus dipelihara dan diperkukuh bagi memastikan kestabilan serta kemajuan negeri dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat terus mengekalkan nilai-nilai murni serta semangat perpaduan yang telah sekian lama menjadi asas keharmonian negara.
Dalam pada itu, beliau telah diwakili oleh Kapitan Ling Dien Yong dan Penghulu Huang Tiong Kang dalam Kunjungan Hari Raya Aidilfitri 2026 ke beberapa kediaman di sekitar kawasan Repok.
Antara individu yang dikunjungi termasuk Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Kelana Kipli, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Repok, Mohammad Fadillah, Timbalan Residen Bahagian Sarikei, Badjuri Bidin serta Morshien Affandi. -EDISI UKAS