Rindok-Rindok Raya SABERKAS Eratkan Silaturahim Bersama Ahli Unit Melayu Meradong
BINTANGOR: Program Rindok-Rindok Raya SABERKAS menerusi Lawatan Hari Raya ke Rumah Ahli-Ahli SABERKAS Unit Melayu Cawangan Meradong pada Hari Raya keempat berlangsung meriah dalam suasana penuh mesra dan harmoni di sekitar kampung-kampung Melayu di Bintangor, pada Selasa.
Program tersebut telah disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, bersama barisan kepimpinan SABERKAS Cawangan Meradong.
Lawatan berkenaan merupakan antara inisiatif bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara kepimpinan dan ahli-ahli SABERKAS di peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan Unit Melayu Cawangan Meradong.
Dalam suasana Aidilfitri yang penuh kemeriahan, rombongan telah berkunjung ke beberapa buah rumah ahli bagi menyampaikan salam Hari Raya selain berkongsi kegembiraan bersama keluarga yang diraikan.
Sepanjang lawatan itu, Datuk Ding Kuong Hiing turut meluangkan masa beramah mesra dengan para ahli serta mendengar sendiri pandangan dan perkembangan semasa komuniti setempat.
Beliau menekankan kepentingan perpaduan, semangat kekitaan dan kerjasama erat dalam kalangan ahli SABERKAS sebagai asas penting untuk memastikan pembangunan masyarakat terus diperkasa.
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli SABERKAS Unit Melayu Cawangan Meradongyang sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian masyarakat di kawasan Meradong. -EDISI UKAS