Keperluan Rakyat Terus Menjadi Keutamaan Kerajaan Sarawak
SRI AMAN: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan keperluan rakyat luar bandar terus diberi perhatian.
Buktinya, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis telah turun padang meninjau sendiri cadangan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di bawah komstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang, pada Selasa.
Lawatan tersebut merupakan susulan kepada permohonan penduduk setempat yang memohon penambahbaikan kemudahan infrastruktur di kawasan masing-masing, sekali gus mencerminkan pendekatan responsif kerajaan terhadap suara rakyat.
Dalam lawatan pertama, beliau meninjau tapak cadangan pembinaan tempat letak kenderaan baharu di Rumah Jacktola Beranchar, Kampung Sungai Labi, Batu Lintang, Undop yang dilihat penting bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan penduduk.
Seterusnya, Datuk Francis Harden turut melawat Rumah Bericha Jumpu di Temiang Baru, Batu Lintang, Undop bagi meneliti permohonan naik taraf jalan akses dari penempatan tersebut ke Jambatan Temiang, yang merupakan laluan utama penduduk setempat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu, hasil lawatan tersebut akan dipanjangkan kepada agensi pelaksana bagi tindakan lanjut termasuk lawatan tapak bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Langkah ini penting bagi menentukan lokasi sebenar projek serta penyediaan kertas kerja lengkap termasuk anggaran kos sebelum dikemukakan kepada wakil rakyat untuk kelulusan peruntukan RTP,” jelasnya.
Tambah beliau, selepas persetujuan dicapai terhadap kos projek, cadangan akan melalui beberapa peringkat proses sebelum ditawarkan oleh Panel Pemilihan Projek RTP yang dipengerusikan oleh Residen Bahagian.
Panel berkenaan akan menentukan kaedah pelaksanaan projek sama ada melalui cabutan undi, pelantikan kontraktor oleh JKKK atau dilaksanakan secara gotong-royong oleh komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara penduduk dan agensi pelaksana bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek.
“Penglibatan aktif komuniti amat penting agar setiap projek RTP yang dilaksanakan dapat memberi manfaat optimum kepada penduduk setempat, selaras dengan aspirasi pembangunan luar bandar Kerajaan Sarawak,” ujarnya. -EDISI UKAS