Gangguan Sistem Jejas Operasi Kaunter Tanah Dan Survei Sibu
SIBU: Perkhidmatan dalam talian dan kaunter di Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) Bahagian Sibu dilaporkan mengalami gangguan berikutan masalah pelayan (server) yang tidak berfungsi, hari ini.
Menurut notis pemberitahuan yang dikeluarkan, gangguan tersebut melibatkan sistem eLASIS, Mobile LASIS serta perkhidmatan kaunter di Pejabat Tanah dan Survei Bahagian Sibu yang kini tidak dapat diakses buat sementara waktu.
Sehubungan itu, pihak JTS memaklumkan bahawa tindakan segera sedang diambil bagi menangani masalah berkenaan, selain pemantauan rapi dilaksanakan untuk memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan dalam kadar segera.
Orang ramai yang mempunyai urusan berkaitan disarankan untuk menghubungi Unit Perhubungan Awam jabatan tersebut di talian 084-326099 sambungan 224 atau 242, atau melalui emel rasmi bagi mendapatkan maklumat lanjut.
Pihak jabatan turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul susulan gangguan tersebut. - EDISI UKAS