Hari Pekerja 2026 Sarawak Bakal Diadakan 10 Mei Ini, Sasar 3,000 Peserta
KUCHING: Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak dijadual berlangsung pada 10 Mei depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan sasaran kehadiran seramai 3,000 peserta.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, sambutan tahun ini mengangkat tema “Pekerja Cemerlang Sarawak Maju Makmur”, yang mencerminkan hubungan erat antara tenaga kerja berkualiti dengan kemajuan serta kemakmuran negeri.
"Seiring dengan aspirasi kita dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Sarawak berhasrat untuk menjadi sebuah negeri maju, progresif dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Bagi Penganjuran Sambutan Hari Pekerja Tahun 2026 Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Tambahnya, sasaran 3,000 peserta tahun ini juga bagi memecahkan rekod tahun lepas seramai 1,500 peserta yang berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) yang menjadi pencapaian terbesar yang pernah direkodkan dan juga yang pertama bagi Sarawak pada tahun 2025.
Bagi pengisian program, Datuk Gerawat Gala memberitahu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadual hadir sebagai tetamu kehormat bagi merasmikan sambutan tersebut di samping turut meluncurkan portal JobSarawak sebagai platform rasmi memperkukuh pasaran buruh di negeri ini.
Selain itu katanya, program berkenaan turut menampilkan Anugerah Tokoh Pekerja Cemerlang yang akan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu golongan eksekutif dan golongan bukan eksekutif.
"Bagi sambutan kali ini juga, buat pertama kalinya kita akan memperkenalkan Anugerah Majikan Cemerlang.
"Anugerah ini adalah khusus untuk majikan-majikan, dan akan dibahagikan kepada dua kategori 'Syarikat besar' dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," ujarnya.
Tambah Datuk Gerawat, program Hari Pekerja 2026 akan diselitkan dengan taklimat serta sesi libat urus berhubung pindaan Ordinan Buruh, susulan beberapa pindaan penting yang telah dilaksanakan pada Disember 2024.
Hadir dalam mesyuarat tersebut, Pengarah Unit Pengurusan Imigresen Dan Buruh (ILMU) Richard Lon dan Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Sarawak Zaidi Nasar. -EDISI UKAS