Jelajah Perbatasan Malindo 2.0 Perkukuh Persahabatan Rentas Sempadan
TEBEDU: Semangat kerjasama rentas sempadan Malaysia-Indonesia terus diperkukuh menerusi pelancaran Konvoi Jelajah Perbatasan Bakti Sosial Malindo 2.0 Tahun 2026 yang julung kali dimulakan di pintu sempadan Tebedu-Entikong pada Rabu.
Konvoi melibatkan 23 kenderaan pacuan empat roda itu telah dilepaskan oleh Pegawai Daerah Tebedu, Gerard George Entigar di pekarangan Pejabat Daerah Tebedu.
Program selama empat hari tiga malam bermula 25 hingga 29 Mac itu akan merentasi laluan mencabar dari ICQS Tebedu menuju ke Balai Krangan dan Badau di Kalimantan Barat sebelum kembali semula ke ICQS Tebedu.
Selain menguji ketahanan fizikal dan mental peserta serta keupayaan kenderaan dalam menghadapi medan sukar, jelajah tersebut turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli kelab Sarawak Four Wheel Drive Association (SAKTA) dari Malaysia dan Indonesia Off-Road Federation (IOF).
Pada masa sama, program ini membawa misi bakti sosial dengan memberi peluang kepada peserta mendekati komuniti di kawasan pedalaman sepanjang laluan konvoi, di samping memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Dalam ucapannya, Gerard menekankan kepentingan disiplin dan pematuhan peraturan sepanjang berada di kawasan sempadan, khususnya ketika memasuki wilayah Kalimantan Barat.
“Sebagai peserta konvoi, kita perlu menunjukkan sikap profesional dan berdisiplin, selain menjaga hubungan baik dengan semua pihak termasuk masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut berharap penganjuran program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih meluas, sekali gus memperkukuh lagi hubungan dua hala antara komuniti Malaysia dan Indonesia.
Penganjuran konvoi hasil kerjasama SAKTA dan IOF itu bukan sahaja menjadi platform rekreasi lasak, malah berperanan sebagai jambatan yang merapatkan hubungan rakyat kedua-dua negara melalui semangat kekeluargaan dan kerjasama serantau.
Jelajah Perbatasan Bakti Sosial Malindo 2.0 turut dilihat berpotensi menjadi model program komuniti berimpak tinggi yang menggabungkan elemen sukan lasak, kebajikan sosial dan diplomasi rakyat ke rakyat di kawasan perbatasan.-EDISI UKAS