Agro Pelancongan Pacu Ekonomi Komuniti, Sabaki Farm Tampil Model Bersepadu di Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Potensi sektor agro sebagai pemacu ekonomi komuniti terus diperkukuh apabila Sabaki Farm di Kampung Tanjung Tuang muncul sebagai model pertanian bersepadu yang berupaya menjana pendapatan serta membuka peluang agro pelancongan di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, Sabaki Farm bukan sekadar sebuah ladang biasa, sebaliknya merupakan projek bersepadu yang menggabungkan penanaman orkid oleh Kelab Orkid Samarahan serta aktiviti penternakan yang diurus secara sistematik dan mampan.
Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap keindahan serta kepelbagaian spesies orkid yang ditanam, termasuk kaedah penanaman unik sama ada di tanah mahupun di celah pokok kelapa sawit yang memperlihatkan kreativiti serta kecekalan pengusaha tempatan dalam memajukan sektor pertanian.
“Usaha seperti ini jelas menunjukkan potensi besar sektor agro dalam menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi komuniti, khususnya dalam pembangunan agro pelancongan di Kampung Tanjung Tuang,” katanya semasa mengadakan lawatan kerja ke ladang berkenaan pada Khamis.
Tambah beliau, pendekatan pertanian bersepadu yang dilaksanakan di Sabaki Farm mampu menjadi model kepada komuniti lain dalam mengoptimumkan penggunaan tanah serta sumber sedia ada bagi meningkatkan hasil dan pendapatan.
Dalam masa sama, beliau percaya dengan sokongan berterusan daripada kerajaan dan agensi berkaitan, lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat diperluas, sekali gus menyumbang kepada pembangunan luar bandar yang lebih mampan dan berdaya saing.
Lawatan ini sekali gus memperlihatkan potensi besar Sabaki Farm sebagai destinasi agro pelancongan yang mampu menarik kehadiran pelawat serta membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.-EDISI UKAS