Earth Hour 2026 Tingkat Kesedaran Awam, MBKS Galak Amalan Hijau
KUCHING: Sambutan Earth Hour 2026 terus dimanfaatkan sebagai platform memperkukuh kesedaran kelestarian apabila Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mempergiat usaha menggalakkan amalan penjimatan tenaga dan pemeliharaan alam sekitar dengan Majlis Daerah Sri Aman bertindak sebagai hos rasmi tahun ini.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, inisiatif global itu menjadi medium penting dalam mendorong penglibatan masyarakat secara kolektif ke arah gaya hidup lebih lestari.
Menurut beliau, Earth Hour bukan sekadar simbolik memadamkan lampu, sebaliknya berperanan membentuk kesedaran serta perubahan sikap dalam kalangan masyarakat.
“Earth Hour bukan hanya tentang memadamkan lampu, tetapi meningkatkan kesedaran bahawa tindakan kecil secara bersama mampu memberi impak yang besar,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Sebagai sebahagian daripada komitmen tersebut, MBKS akan memadamkan lampu di pejabat majlis, kemudahan awam serta beberapa lokasi tumpuan selama satu jam bermula 8.30 malam hingga 9.30 malam, selaras dengan pelaksanaan di peringkat global.
Pada masa sama, penyertaan melibatkan sektor perhotelan, pusat beli-belah, institusi pendidikan dan organisasi korporat turut mencerminkan sokongan menyeluruh terhadap agenda kelestarian.
Beliau berkata, penglibatan pelbagai sektor itu menunjukkan bahawa usaha memelihara alam sekitar memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan untuk turut serta dengan memadamkan lampu selama satu jam serta mengamalkan penjimatan tenaga sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar, Dato Dr Zaiedi Suhaili, Kr Eric Tay Tze Kok, Kr Jong Jia Chee, Kr Kiing Sie Ying serta Kr Misiah Abdullah.-EDISI UKAS