Sarawak Perkukuh Kedudukan Hab Pelancongan Serantau
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelancongan serantau apabila bakal menganjurkan Persidangan Pemandu Pelancong Asia Tenggara Ke-3 2026 dari 13 hingga 15 Oktober depan di Kingwood Hotel, Sibu.
Persidangan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 delegasi dari seluruh Asia Tenggara, sekali gus menjadi platform strategik dalam memperkasa standard profesional pemandu pelancong serta memacu pembangunan industri pelancongan berkualiti tinggi di rantau ASEAN.
Program berkenaan dianjurkan oleh Sarawak Tourist Guides Association dengan kerjasama Malaysian Tourist Guides Council serta disokong Business Events Sarawak.
Penganjuran edisi kali ini menyusuli kejayaan persidangan sulung di Kuching pada 2024 dan dilaksanakan selari dengan aspirasi Visit Malaysia Year 2026, di samping menjadi wadah menangani cabaran industri serta memperkukuh jaringan kerjasama dalam kalangan pemain barisan hadapan sektor pelancongan.
Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak menyasarkan pertumbuhan ketibaan pelawat sebanyak 7.5 peratus setahun menjelang 2030 dengan penekanan terhadap pengalaman pelancongan yang berkualiti dan mampan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, Sarawak menyasarkan kemasukan lima juta pelawat menjelang 2026, namun aspek kualiti pengalaman kekal menjadi keutamaan.
Menurut beliau, bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan terus mampan, golongan pemandu pelancong perlu diberi sokongan menyeluruh, dilengkapi kemahiran relevan serta bersedia menghadapi tuntutan masa hadapan.
“Pertama, dengan sokongan Business Events Sarawak, kita membangunkan kapasiti pemandu pelancong melalui penganjuran persidangan ini sebagai platform pembelajaran, kolaborasi dan pertukaran idea di peringkat serantau.
“Kedua, kita turut memperuntukkan dana bagi melatih pemandu pelancong baharu termasuk pemandu pelancong khusus wilayah berdaftar serta pemandu taman Sarawak, sekali gus memperkukuh rantaian bakat dalam industri ini,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Beliau menambah, langkah strategik tersebut mencerminkan pendekatan Sarawak yang berteraskan legasi penganjuran persidangan dengan penekanan kepada impak jangka panjang terhadap pembangunan industri pelancongan negeri.
Katanya, pemilihan Sibu sebagai lokasi penganjuran turut mencerminkan usaha memperluas pembangunan pelancongan secara inklusif, di samping mengagihkan manfaat ekonomi ke seluruh negeri.
"Sebagai sebahagian daripada pengisian, para delegasi akan menyertai program pembelajaran luar termasuk pertukaran budaya yang memberi pendedahan langsung kepada pelancongan berasaskan komuniti.
"Inisiatif itu bertujuan meningkatkan kefahaman pemandu pelancong tempatan dan antarabangsa terhadap peranan mereka dalam memelihara identiti budaya serta menyampaikan pengalaman autentik kepada pelawat," ujarnya lagi.
Persidangan berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat, peningkatan profesionalisme serta pengukuhan kedudukan Sarawak sebagai hab acara perniagaan berimpak tinggi di Malaysia dan rantau Borneo.-EDISI UKAS