Operasi Bersepadu Dipergiat, Kebakaran Belukar 16 Hektar di Sibu Dikawal
SIBU: Operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi kini dipergiat bagi mengawal kebakaran belukar seluas kira-kira 16 hektar berhampiran Institut Memandu Ngu Chung Beng di sini pada Jumaat.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sibu, Andy Alie berkata, operasi pemadaman dilaksanakan secara strategik menerusi pembahagian tiga sektor utama iaitu A, B dan C, dengan kekuatan seramai 50 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral.
Menurut beliau, cabaran geografi turut menuntut kecekapan tinggi pasukan apabila anggota perlu menyeberangi anak sungai sebelum melaksanakan gabungan serangan defensif dan serangan langsung bagi mengekang pergerakan api daripada terus merebak.
“Pembahagian sektor dan penugasan anggota telah diselesaikan seawal jam 9 pagi, dan operasi kini giat dilaksanakan di semua kawasan terjejas,” katanya.
Operasi tersebut turut disokong oleh pelbagai agensi termasuk RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pasukan sukarelawan, mencerminkan kerjasama rentas agensi yang kukuh dalam menangani situasi kecemasan.
Dalam masa sama, JPS Sibu menggerakkan jengkaut bagi melaksanakan kerja pembersihan serta membuka laluan baharu, sekali gus memudahkan akses pasukan ke lokasi kebakaran yang sebelum ini sukar dimasuki.
Andy memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada 23 Mac lalu, namun operasi tidak dapat dilaksanakan lebih awal berikutan lokasi kejadian terletak kira-kira dua kilometer dari laluan masuk terdekat serta ketiadaan akses yang sesuai.
“Operasi pemadaman hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya hari ini selepas laluan berjaya dibuka melalui kerjasama pelbagai agensi dan penggunaan jentera berat,” jelasnya.
Tambah beliau, pemantauan rapi akan terus dijalankan dengan penyesuaian strategi operasi serta penugasan sumber secara dinamik mengikut perkembangan semasa di lapangan.-EDISI UKAS