Mangsa Kebakaran Kampung Senau Oya Terima Bantuan RM10,000
OYA: Keprihatinan terhadap nasib mangsa kebakaran terus dizahirkan apabila Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib menyalurkan bantuan berjumlah RM10,000 kepada sebuah keluarga yang terjejas di Kampung Senau Oya, Dalat, pada Khamis.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada Mohd Faris Abdullah bagi membantu meringankan beban selepas kediamannya musnah dalam kejadian kebakaran baru-baru ini.
Bantuan yang disalurkan meliputi keperluan asas, barangan makanan serta wang tunai itu disampaikan oleh warga kerja Pusat Khidmat Mukah serta sukarelawan tempatan.
Dato Hanifah menzahirkan harapan agar mangsa sekeluarga terus tabah menghadapi ujian, di samping bantuan yang disalurkan dapat menjadi pemangkin untuk mereka bangkit semula dalam tempoh mencabar ini.
Beliau turut menyeru orang ramai serta pihak berkaitan agar terus tampil menghulurkan bantuan, sekali gus memastikan kebajikan keluarga berkenaan sentiasa terbela.
Turut hadir ialah Felicia Serai mewakili Jawatankuasa Bencana Daerah Dalat, Ketua Kaum Kampung Senau Mohd Affendi Ketam serta pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Dalat.-EDISI UKAS