RTP Perkasa Kemudahan Pendidikan Luar Bandar di Sarikei
SARIKEI: Pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) terus memperkukuh kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar sekali gus merapatkan jurang antara sekolah bandar dan luar bandar di bahagian ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, inisiatif tersebut memberi tumpuan kepada penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan luar bandar terus diperkasa secara berterusan.
Menurutnya, beberapa sekolah di kawasan Meradong telah dikenal pasti untuk menerima projek naik taraf di bawah peruntukan RTP yang melibatkan penambahbaikan kemudahan asas serta infrastruktur sekolah.
Antara yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Daik di Meradong yang kini menerima kerja naik taraf kemudahan fizikal.
Wakil beliau, Wong Soon Mee telah menyempurnakan majlis penyerahan tapak projek RTP bagi kerja naik taraf kemudahan di sekolah berkenaan, hari ini.
Huang berkata, penyediaan kemudahan yang lebih baik bukan sahaja menyokong proses pembelajaran yang lebih efektif, malah mampu meningkatkan motivasi pelajar untuk mencapai kecemerlangan.
Tambah beliau, pelaksanaan projek RTP turut memberi nilai tambah kepada komuniti setempat apabila kemudahan sekolah dapat dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan.-EDISI UKAS