Pelancongan Domestik Terus Perkukuh Ekonomi Sarawak, Industri Kekal Stabil Meskipun Berdepan Cabaran Global
KUCHING: Ketika dunia berdepan pelbagai cabaran, sektor pelancongan Sarawak tetap melangkah stabil dengan kekuatan pelancongan domestik yang terus menyokong perkembangan industri berkenaan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengalaman lalu telah membuktikan bahawa Sarawak mempunyai asas pelancongan domestik yang kukuh, sekali gus mampu memastikan industri terus berkembang dalam apa jua keadaan.
“Kita lihatlah apabila kita menghadapi COVID satu ketika dahulu, walaupun dalam suasana pintu ditutup, penerbangan tidak masuk tapi industri pelancongan di Sarawak hidup dengan adanya program-program yang kita adakan seperti program Sia Sitok dan sebagainya.
“Takkanlah kita nak berkurung di rumah sahaja, yang dari Miri, Sibu, Bintulu mereka boleh datang ke Kuching dan dari Kuching, Sri Aman dan sebagainya boleh pergi ke Miri, ke Sibu kerana kita banyak produk-produk pelancongan,” katanya.
Belia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Ramah Tamah Aidilfitri kedua-dua kementeriannya di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.
Dalam masa yang sama, Dato Sri Abdul Karim menjelaskan bahawa perkembangan semasa di peringkat global tidak memberi kesan besar terhadap industri pelancongan negeri.
Menurutnya, walaupun terdapat faktor seperti kenaikan kos tertentu yang mungkin memberi sedikit kesan kepada perjalanan, ia tidak menjejaskan keseluruhan sektor pelancongan.
Tambah beliau, masih terdapat permintaan dalam kalangan masyarakat untuk melancong, sekali gus memastikan industri terus bergerak dengan baik.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai untuk menyesuaikan perancangan percutian dengan memberi tumpuan kepada destinasi dalam negeri sebagai pilihan yang lebih praktikal dan menjimatkan.-EDISI UKAS