Dasar Peralihan Tenaga Bukti Visi Kepimpinan Sarawak Jauh Ke Hadapan
KUCHING: Dasar peralihan tenaga yang dirangka lebih awal oleh Sarawak sebelum tercetusnya krisis tenaga dunia kini membuktikan visi jauh ke hadapan pemimpin negeri ini dalam memastikan keselamatan dan kelestarian sumber tenaga.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, konflik geopolitik seperti di Timur Tengah dan krisis di Ukraine telah mempercepatkan kesedaran global terhadap kepentingan tenaga alternatif, sekali gus mengesahkan ketepatan hala tuju yang telah lebih awal digariskan oleh Sarawak.
“Kalau kita lihat daripada segi polisi dasar kita Iaitu dasar peralihan tenaga, inilah yang merupakan titik tolak ataupun ‘turning point’ untuk seluruh dunia memikirkan apakah tenaga alternatif yang sepatutnya difokuskan dan dibangunkan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026, di sini, pada Ahad.
Sarawak, tambah beliau, berada dalam kedudukan strategik untuk menerajui agenda tersebut berikutan kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki, termasuk potensi besar dalam tenaga hidro, solar serta pembangunan bahan api masa depan seperti hidrogen hijau dan metanol.
Dalam konteks kesiapsiagaan menghadapi krisis tenaga, beliau menjelaskan bahawa Sarawak tidak terkecuali daripada cabaran global.
Susulan itu, beliau turut berkongsikan dasar peralihan tenaga yang dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan langkah jangka pendek antara 12 bulan hingga tiga tahun yang menumpukan kepada pengurusan penggunaan tenaga secara lebih efisien.
“Seterusnya, fasa kedua yang berlangsung antara tiga hingga lima tahun merupakan tempoh peralihan campuran, melibatkan penggunaan minyak dan gas secara terkawal.
“Selepas itu, barulah peralihan secara besar-besaran kepada tenaga hijau akan direalisasikan. Secara keseluruhan, proses ini merangkumi tiga fasa dan dijangka mengambil tempoh antara 10 hingga 15 tahun,” jelasnya lagi. -EDISI UKAS