RWMF Tetap Diteruskan, Sarawak Kekal Optimis Tarik Pengunjung
KUCHING: Penganjuran Rainforest World Music Festival (RWMF) akan diteruskan seperti dirancang, dengan Sarawak kekal optimis terhadap kehadiran pengunjung meskipun dunia berdepan ketidaktentuan global.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, festival berkenaan tidak hanya bergantung kepada pelancong antarabangsa, sebaliknya turut mendapat sokongan kuat daripada pengunjung tempatan dan serantau.
“Setiap tahun, lebih kurang 20,000 pengunjung hadir ke Rainforest dan lebih separuh daripadanya adalah dari dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran dua kementeriannya di sebuah hotel, di sini, pada Ahad.
Dato Sri Abdul Karim menegaskan bahawa acara seperti RWMF bukan sahaja memberi hiburan, malah menjadi platform penting dalam mempromosikan seni, budaya dan industri pelancongan Sarawak ke peringkat lebih luas, selaras dengan kepentingan memastikan kehidupan masyarakat terus berjalan termasuk melalui elemen kesenian dan hiburan.
Mengulas kebimbangan terhadap konflik global yang mungkin menjejaskan pergerakan pelancong, beliau berkata situasi tersebut tidak memberi kesan besar kepada kehadiran pengunjung ke Sarawak.
Menurutnya, pelancong antarabangsa masih boleh menyesuaikan laluan perjalanan mereka, manakala kehadiran pelancong dari rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura, Brunei dan Semenanjung Malaysia dilihat mampu menyokong penganjuran festival berkenaan.-EDISI UKAS