Fudan University Rancang Buka Kampus Cawangan di Miri, Fokus Awal kepada Fakulti Perubatan
MIRI: Usaha memperkukuh pembangunan modal insan serta sistem kesihatan di Sarawak terus diperkasa apabila cadangan penubuhan kampus cawangan Fudan University di Miri kini semakin hampir direalisasikan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian berkata, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia telah menyatakan tiada halangan terhadap cadangan tersebut, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan peringkat seterusnya.
Menurut beliau, perkembangan itu merupakan hasil susulan surat yang dihantar pada Ogos tahun lalu sebelum mendapat persetujuan Kabinet Persekutuan pada Disember 2025.
“Pihak kementerian akan terus memberi panduan bagi melengkapkan proses permohonan, dan ini merupakan satu langkah penting ke arah merealisasikan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi temubual bersama media ketika menghadiri majlis Sarawak Chinese Excellence Awards di Imperial Hotel, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa perbincangan turut diadakan bersama Pengarah Institut Perubatan Integratif Fudan University, Dong JingCheng bagi memperincikan hala tuju penubuhan kampus tersebut.
Jelasnya, selepas memperoleh sokongan kerajaan Sarawak, kerajaan Malaysia serta pihak universiti, langkah seterusnya adalah mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Pendidikan Tinggi China.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keutamaan akan diberikan kepada penubuhan sekolah perubatan terlebih dahulu sebelum berkembang kepada kampus universiti penuh, selaras dengan keperluan mendesak tenaga doktor di negeri ini.
“Malaysia kini berdepan kekurangan kira-kira 4,000 doktor. Daripada 538 pegawai perubatan yang menerima penempatan baru-baru ini, hanya sebahagian kecil dijangka berkhidmat di Sarawak. Justeru, penubuhan sekolah perubatan ini amat kritikal,” ujarnya.
Tambah beliau, institusi perubatan Fudan merupakan antara yang terkemuka di China dengan kira-kira 12,000 pelajar termasuk 8,000 di peringkat pascasiswazah, sekali gus berpotensi besar dalam melahirkan tenaga profesional berkualiti tinggi.
Selain itu, penubuhan sekolah perubatan tersebut juga dijangka akan disusuli dengan pembangunan hospital Fudan, yang mampu meningkatkan keupayaan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
Dalam jangka panjang, beliau percaya kehadiran universiti bertaraf dunia itu akan membawa transformasi besar kepada bandar raya Miri termasuk peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa, pertumbuhan ekonomi setempat serta potensi pembukaan laluan penerbangan terus.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis berkenaan selepas melakukan lawatan ke tapak pembinaan Kenyalang Smart City (KSC) pada sebelah petang, yang merupakan antara projek pembangunan utama di Miri.-EDISI UKAS