RM37,000 Geran MRP Perkasa Pendidikan, Semai Perpaduan Di Meradong
MERADONG: Sebanyak RM37,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) disalurkan bagi memperkasa pendidikan serta menyemai perpaduan dalam kalangan warga pendidik di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing mengumumkan penyaluran itu semasa menerima kunjungan hormat Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Cawangan Meradong yang diketuai pengerusinya, Zamerene Bin Ruin bersama jawatankuasa persatuan, pada Jumaat.
Daripada jumlah tersebut, RM35,000 diperuntukkan bagi penganjuran Majlis Makan Malam Perpaduan yang menghimpunkan sambutan pelbagai perayaan utama termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai dan Hari Guru.
Menurut Datuk Ding, program berkenaan bukan sahaja memupuk perpaduan, malah menjadi platform menghargai jasa guru dalam membentuk generasi berilmu.
Selain itu, RM2,000 disalurkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Nibong bagi menyokong program lawatan sambil belajar, sekali gus memberi pendedahan luar bilik darjah kepada murid.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada Bernard Empam dari Rumah Bandar, Sungai Tulai, Bintangor sebagai usaha membantu golongan memerlukan.
Pertemuan itu turut membincangkan keperluan semasa sekolah, cabaran guru besar serta peranan PGBM dalam memperkukuh kepimpinan pendidikan. –EDISI UKAS