KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG) berjaya menyelesaikan dua projek perumahan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai ‘sakit’, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam melindungi kepentingan rakyat, khususnya pembeli rumah.
Dua projek berkenaan ialah Taman Fitriyyah di Kuching dan Botanic Garden 2 di Bahagian Betong yang masing-masing mengalami kelewatan lebih dua tahun daripada tarikh jangka siap asal.
Projek Taman Fitriyyah yang dibangunkan oleh Twin Revenue Sdn Bhd di Lot 1954, Blok 17, Salak Land District merangkumi 54 unit rumah teres satu dan dua tingkat.
Menurut satu kenyataan media pada Jumaat, sepanjang pelaksanaan, pelbagai isu tertunggak berjaya dikenal pasti dan ditangani secara proaktif melalui penyelarasan berterusan antara agensi kerajaan, termasuk mesyuarat koordinasi serta lawatan tapak bersama yang diketuai MPHLG.
Hasil pendekatan bersepadu tersebut, projek berkenaan telah berjaya memperoleh Permit Penghunian (OP) pada 18 Mac 2026, sekali gus membolehkan pembeli menikmati kediaman masing-masing.
Sementara itu, projek Botanic Garden 2 yang dibangunkan oleh Green Avenue Resources Sdn Bhd di Bahagian Betong melibatkan dua fasa dengan keseluruhan 54 unit rumah teres setingkat yang mana sebelum ini menjejaskan 12 pembeli rumah.
Melalui pemantauan rapi serta libat urus berterusan oleh MPHLG, projek berkenaan khususnya Fasa 1 berjaya disiapkan dan menerima OP pada 5 Februari 2026.
Kejayaan menyiapkan kedua-dua projek ini mencerminkan keberkesanan kerjasama strategik antara kementerian, pemaju, pihak berkuasa tempatan serta agensi teknikal dalam menangani isu projek perumahan lewat siap.
MPHLG turut merakamkan penghargaan kepada para pembeli rumah yang terjejas atas kesabaran, kefahaman dan kerjasama sepanjang tempoh penyelesaian projek.
Kerajaan Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus memudah cara semua pihak berkepentingan bagi memastikan projek perumahan dapat disiapkan dan diserahkan mengikut perancangan, selaras dengan aspirasi memastikan kesejahteraan serta kepentingan rakyat sentiasa terpelihara. -EDISI UKAS