RTP Perkasa Pembangunan Infrastruktur Bukit Begunan
SRI AMAN: Beberapa projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) diumumkan bagi memperkukuh kemudahan asas dan kesejahteraan penduduk di kawasan Bukit Begunan.
Pengumuman tersebut disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang semasa berucap dalam Majlis Randau @ Begunan dan perasmian Rumah Biro Wanita Rh Mathew Ronnie di Selepong Kunang pada Jumaat.
Antara peruntukan RTP yang diumumkan ialah RM150,000 kepada Rumah Tinggom bagi kerja naik taraf rumah panjang, RM100,000 kepada Tuai Rumah Mathew untuk projek naik taraf jalan yang memberi manfaat kepada enam buah rumah persendirian, serta RM50,000 kepada Rumah Robin Unggeng bagi projek naik taraf jalan.
Selain itu, peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) turut diagihkan kepada beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Biro Wanita bagi menyokong kelancaran aktiviti komuniti dan pengurusan setempat.
Menurut Datuk Mong, pembangunan yang dilaksanakan melalui RTP dan MRP bukan sahaja memberi impak kepada aspek infrastruktur, malah turut memperkukuh jaringan sosial serta memperkasakan komuniti luar bandar melalui penglibatan aktif pemimpin setempat, JKKK dan Biro Wanita.
Beliau menyentuh mengenai tugas dan tanggungjawab Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, selain memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar di peringkat akar umbi.
"Tambahan itu, pelbagai projek pembangunan yang sedang dan telah dilaksanakan oleh agensi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) di kawasan Bukit Begunan, yang memberi impak positif kepada kemudahan asas serta kesejahteraan penduduk setempat, " katanya. -EDISI UKAS