Kampung Nanas Hulu Tonjol Kecemerlangan, Kekalkan Semangat Kerjasama Jitu
SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, memuji inisiatif serta kepantasan penduduk Kampung Nanas Hulu dalam menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan kesatuan kukuh antara penduduk dan kepimpinan tempatan.
Menurut beliau, Kampung Nanas Hulu sentiasa konsisten menjadi antara kampung terawal mengadakan sambutan perayaan setiap tahun, sekali gus membuktikan keberkesanan gerak kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta sokongan padu seluruh warga.
“Majlis seperti ini tidak mungkin dapat dilaksanakan oleh seorang ketua sahaja tanpa sokongan ahli jawatankuasa dan penglibatan aktif penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Nanas Hulu, di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, kampung tersebut juga menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila semakin menyerlah di peringkat daerah Simunjan dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini hasil pelbagai penglibatan aktif.
Dalam pada itu, beliau menegaskan agar semangat kerjasama yang terjalin tidak hanya dizahirkan ketika suasana perayaan, tetapi turut diteruskan dalam saat suka dan duka bagi mengukuhkan lagi ikatan silaturahim.
Beliau berharap momentum kerjasama erat antara penduduk dan kepimpinan ini dapat dikekalkan demi menjana lebih banyak kejayaan serta manfaat kepada seluruh warga Kampung Nanas Hulu pada masa hadapan.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee dan wakil Pegawai Daerah Simunjan Samantha Claire Daniel. -EDISI UKAS