Sarawak Perlu Lebih Saintis Teroka Potensi Perubatan Biodiversiti
MIRI: Sarawak perlu melahirkan lebih ramai saintis tempatan bagi meneroka potensi besar biodiversiti negeri ini dalam bidang perubatan, termasuk usaha mencari penawar kepada penyakit kronik seperti kanser.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kekayaan biodiversiti Sarawak, khususnya di kawasan pedalaman seperti Baram, Belaga dan Kapit, mempunyai nilai tinggi yang masih belum diterokai sepenuhnya.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan penubuhan cawangan universiti ini.
“Persoalannya sekarang, adakah kita mampu memanfaatkan biodiversiti di negeri kita untuk dibangunkan sebagai sumber rawatan pelbagai penyakit termasuk kanser.
“Dalam erti kata lain, kita memerlukan lebih ramai saintis dalam pelbagai bidang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 Jubli Intan Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama, di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, penubuhan kampus antarabangsa Universiti Fudan di Miri membuka ruang besar kepada pembangunan penyelidikan berimpak tinggi, sekali gus menuntut penglibatan lebih ramai bakat tempatan dalam bidang sains dan perubatan.
Tambahnya, langkah seterusnya adalah mempergiatkan kajian lanjutan secara kolaboratif bersama pakar, dengan sokongan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan penemuan baharu dalam bidang perubatan berasaskan sumber semula jadi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak untuk terus memperkukuh infrastruktur, khususnya jaringan jalan raya bagi merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Kita mahu Marudi dan Long Lama semakin dekat. Kita bangunkan jalan sepanjang 142 kilometer dari Marudi ke Long Terawan hingga ke Long Lama, Long Panai dan Limbang.
“Ini bermakna Long Lama tidak akan jauh lagi,” jelasnya.
Hadir sama Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Patron Persatuan Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama Dato Dennis Ngau, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama Margaret Uding Nawan serta tetamu lain.-EDISI UKAS