Kenyalang Smart City Pacu Transformasi Bandar Pintar di Miri
MIRI: Projek Kenyalang Smart City (KSC) di Kuala Baram semakin menghampiri fasa penting apabila komponen utamanya, Kenyalang Convention & Exhibition Centre (KCEC) One, dijangka siap menjelang Mei 2026, sekali gus memperkukuh kedudukan Miri sebagai hab bandar pintar dan ekonomi baharu di utara Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pembangunan KSC mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memacu bandar pintar yang mengintegrasikan teknologi, kesihatan dan kelestarian bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek di Jalan Curtin, Kuala Baram, pada Sabtu.
Lawatan tersebut turut disertai Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Ketibaan rombongan disambut Pengasas dan Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd, Ar. Teo Ah Khing yang menyampaikan taklimat mengenai pelan induk KSC, termasuk kerjasama bersama institusi antarabangsa seperti Fudan University dalam pembangunan berteraskan kesihatan dan inovasi.
Sepanjang lawatan, delegasi meninjau kemajuan pembinaan KCEC One yang bakal menjadi pusat konvensyen dan pameran moden berkapasiti 3,500 pengunjung pada satu masa, selain berperanan sebagai pemangkin industri acara dan pelaburan di Miri.
Turut diadakan majlis simbolik penandatanganan plak KCEC sebagai penanda aras kemajuan projek, selain penyerahan buku berkaitan inovasi kesihatan sebagai simbol integrasi elemen teknologi dan kesejahteraan dalam pembangunan KSC.
Lawatan pertama Datuk Amar Dr Sim ke tapak projek itu memberi gambaran jelas mengenai kemajuan semasa serta potensi KSC dalam memperkukuh landskap pembangunan bandar pintar Sarawak yang mampan, inklusif dan berdaya saing.- EDISI UKAS