Projek Agrovoltaik Baram Bernilai RM6 Bilion Pacu Transformasi Ekonomi Luar Bandar
MIRI: Projek Agrovoltaik Baram yang bakal dibangunkan di Temala dijangka menjadi pemangkin utama transformasi ekonomi luar bandar di Baram, sekali gus memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga bersih serantau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, berkata projek tersebut yang merupakan sebahagian daripada Zon Ekonomi Tenaga Boleh Diperbaharui Baram dianggarkan melibatkan pelaburan bernilai RM6 bilion.
Menurut beliau, pembangunan itu dirancang secara strategik di persimpangan Temala yang menghubungkan rangkaian Projek Jalan Miri–Marudi, Mulu (Kuala Melinau) serta Long Panai–Long Lama (MMMLL).
“Antara komponen utama projek termasuk pembangunan 1,500 hektar pertanian moden, dengan 500 hektar diperuntukkan bagi penanaman padi untuk menyokong keselamatan makanan Sarawak.
“Selain itu, projek ini turut merangkumi pembangunan hab logistik bernilai RM380 juta, stesen janakuasa RM300 juta berkapasiti 300 megawatt serta pembinaan bandar baharu moden bernilai RM310 juta yang menyediakan 600 unit kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena sambutan Ulang Tahun ke-60 Jubli Intan Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg.
Dennis menegaskan, projek agrovoltaik itu bukan sekadar pembangunan tenaga solar, sebaliknya merangkumi ekosistem menyeluruh yang menggabungkan tenaga boleh diperbaharui, pertanian moden serta pembangunan infrastruktur luar bandar.
“Ini bukan hanya ladang solar, tetapi satu ekosistem pembangunan yang mampu menjana peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat,” katanya.
Menurut beliau, projek tersebut dijangka mewujudkan kira-kira 400 peluang pekerjaan tetap berkemahiran tinggi selain membuka ruang perniagaan kepada penduduk tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Zon Ekonomi Tenaga Boleh Diperbaharui Baram yang terletak berhampiran Long Lama telah mendapat kelulusan kerajaan negeri dan berpotensi menjana kapasiti tenaga setanding dua empangan hidroelektrik utama.
“Ini sekali gus meletakkan Sarawak sebagai kuasa tenaga bersih di Asia Tenggara,” ujarnya.
Mengulas sambutan Jubli Intan ke-60 Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama, beliau yang juga Patron Persatuan Alumni sekolah berkenaan berkata institusi itu memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berpendidikan di Baram.
“Harapan kita agar pelajar hari ini mampu menjadi tenaga profesional masa depan seperti jurutera, petani moden dan usahawan berjaya,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat; Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau; Residen Bahagian Miri, Galong Luang; serta Pengerusi Persatuan Alumni SMK Long Lama, Margaret Uding Nawan.- EDISI UKAS